SIMANGGANG: Kerajaan meneruskan komitmen untuk mendekatkan dasar pembangunan kepada rakyat melalui siri kedua Jelajah Jalinan Borneo (JJB) Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13).
Timbalan Menteri Ekonomi, Dato Hanifah Hajar Taib yang meneruskan jelajah berlangsung di sini, hari ini berkata, ia bertujuan mengukuhkan hubungan di antara rakyat dan kerajaan.
Program ini dimulakan dengan Sesi Libat Urus (SLU) melibatkan pelbagai pihak, termasuk pakar, pemain industri, badan bukan kerajaan (NGO), dan masyarakat setempat.
Sesi ini berperanan sebagai platform untuk dialog dua hala, membolehkan perbincangan tentang keperluan, cabaran, dan potensi pembangunan wilayah.
Hanifah menekankan bahawa JJB merupakan sebahagian daripada usaha Kementerian Ekonomi untuk merapatkan jurang antara dasar kerajaan dan rakyat, serta menjelaskan intipati RMK-13 kepada masyarakat di Sabah dan Sarawak.
“Jelajah ini bukan sahaja memberi peluang kepada rakyat memahami hala tuju pembangunan negara, malah membolehkan kerajaan mendengar sendiri pandangan serta keperluan masyarakat di lapangan,” katanya.
Siri kedua JJB ini, yang dikendalikan oleh Lembaga Pembangunan Koridor Wilayah (RECODA) dengan kerjasama kerajaan Sarawak, Pejabat Daerah Sri Aman dan Majlis Daerah Sri Aman, menekankan komitmen kerajaan dalam memperkukuh perkhidmatan, memperkasakan dasar, dan memastikan pelaksanaan RMK-13 membawa impak positif secara menyeluruh demi kesejahteraan rakyat.
