Penerbangan terus Kuching-Pontianak beroperasi semula

KUCHING: AirAsia melancarkan dua laluan terus ke Pontianak, Indonesia dari Kuala Lumpur dan Kuching, sekali gus mengukuhkan kedudukannya sebagai syarikat penerbangan dengan rangkaian terluas antara Malaysia dan Indonesia.

Penerbangan AK1782 dari Pontianak yang tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (LTAK) diraikan dengan persembahan kebudayaan hari ini.

Ketibaan disambut oleh Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak Datuk Snowdan Lawan, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) AirAsia Malaysia Kapten Fareh Mazputra, Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pelancongan Sarawak, Sharzede Salleh Askor serta wakil Malaysia Airports dan beberapa agensi kerajaan.

Menurut Snowdan, pelancaran semula laluan penerbangan terus Pontianak-Kuching selepas hampir lima tahun terhenti bakal memberi impak positif kepada Sarawak dalam meningkatkan lagi jumlah ketibaan pelawat khususnya dari negara jiran Indonesia.

“Selepas hampir lima tahun tanpa penerbangan dari Pontianak ke Kuching, laluan ini sememangnya akan melonjakkan industri pelancongan di Sarawak, terutama dalam sektor pelancongan perubatan.

“Ia akan membantu kita mencapai sasaran lima juta pelawat pada tahun ini. Sebab itu kita amat menantikan penerbangan dari Pontianak ke Kuching ini. Saya difahamkan ia merupakan penerbangan harian,” katanya kepada media di majlis pelancaran tersebut di sini, hari ini.

Ujarnya, sasaran lima juta pelawat ke Sarawak pada tahun ini bakal menjana pendapatan pelancongan melebihi RM1 bilion sebulan.

Katanya, ia juga selari dengan usaha menjadikan Sarawak sebagai hab serantau bagi industri kreatif dan seni persembahan.

Beliau turut menyatakan penghargaan kepada Kerajaan Indonesia atas pembukaan semula laluan berkenaan yang akan memudahkan pergerakan masyarakat kedua-dua negara.

Sementara itu, majlis pelepasan penerbangan sulung Kuching-Pontianak (AK1781) disempurnakan oleh Menteri Pengangkutan Sarawak, Dato’ Sri Lee Kim Shin bersama Pemangku Konsul Jeneral Indonesia di Kuching, Musa Derek Sairwona serta delegasi khas yang berlepas untuk lawatan rasmi ke ibu kota Kalimantan Barat.

Di Terminal 2 Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur pula, penerbangan pertama AK491 dari Pontianak disambut oleh Tourism Malaysia bersama pengurusan AirAsia.

Pelancaran ini menandakan perkhidmatan antarabangsa pertama di Lapangan Terbang Supadio, Pontianak selepas status antarabangsanya dibuka semula pada Jun 2025.

Ketika ini, AirAsia terbang ke 18 destinasi di Indonesia iaitu dari Kuala Lumpur, ia beroperasi ke Jakarta, Bali, Medan, Yogyakarta, Banda Aceh, Makassar, Padang, Pekanbaru, Balikpapan, Labuan Bajo, Lombok, Palembang, Semarang dan Pontianak.

Manakala, laluan baharu ke Banjarmasin akan bermula pada 20 Oktober ini.