Kerjasama erat Kerajaan Persekutuan, Sarawak tingkatkan keyakinan pelabur

KUCHING: Kerjasama erat antara Kerajaan Persekutuan dan Sarawak meningkatkan keyakinan pelabur antarabangsa untuk terus mengembangkan operasi di negeri ini.

Menurut Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerjasama tersebut memastikan segala urusan berkaitan pelaburan dapat diselesaikan dengan cepat, telus dan lancar.

Jelas Anwar, kepercayaan besar yang diberikan oleh syarikat antarabangsa kepada Malaysia, khususnya kepada Sarawak amat dihargai.

“Pelaburan ini berlaku kerana adanya prestasi cemerlang kerajaan negeri dan kepimpinan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

“Apabila kerajaan negeri progresif, menyediakan fasiliti dengan cepat dan memudahkan urusan, tugas saya sebagai Perdana Menteri lebih mudah,” katanya ketika merasmikan Bangunan Baharu X-FAB Sarawak di Sama Jaya, di sini, hari ini.

Menurutnya, pelaburan X-FAB Sarawak bernilai RM3 bilion adalah bukti nyata kepercayaan syarikat antarabangsa terhadap kestabilan politik, dasar mesra pelabur serta kepimpinan progresif di peringkat negeri.

Tambah beliau, sokongan penuh kerajaan Persekutuan melalui Strategi Semikonduktor Kebangsaan (National Semiconductor Strategy) bersama dasar negeri yang progresif akan memperkukuh kedudukan Malaysia dalam pasaran global.

Turur hadir Premier Sarawak, Timbalan-Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan dan Datuk Amar Profesor Dr Sim Kui Hian, Setiausaha Kerajaan Sarawak Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki, Timbalan Menteri Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar Datuk Dr Hazland Abang Hipni dan Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar Datuk Len Talif Salleh.