KUCHING: Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Dato Sri Nancy Shukri bersama Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek melawat Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Santubong hari ini bagi meninjau keadaan fasiliti di sekolah berkenaan.
Lawatan ini memberi ruang kepada Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) untuk melihat sendiri fasiliti dan keadaan prasarana sekolah, termasuk bilik guru, blok akademik, asrama serta kemudahan lain yang amat penting bagi keselesaan pelajar dan guru di sekolah ini.
Nancy dipetik berkata dalam laman Facebook rasminya berharap lawatan ini akan membuka jalan kepada penambahbaikan yang lebih menyeluruh demi memastikan anak-anak bersekolah di situ mendapat suasana pembelajaran selamat, kondusif dan berkualiti.
Kehadiran kedua-dua pemimpin itu di sekolah tersebut bagi menegaskan komitmen terutamanya KPM dalam menangani isu infrastruktur sekolah, keselamatan pelajar serta memperkasakan bahasa Melayu dan Inggeris di seluruh negara, khususnya di Sarawak.
Sementara itu ketika ditemui media, Fadhlina memuji Nancy selaku Ahli Parlimen Santubong yang banyak membantu pembangunan sekolah di kawasan itu.
Beliau turut manzahirkan ucapan tahniah kepada pihak sekolah dan guru atas kejayaan membanggakan, termasuk kemenangan guru sekolah tersebut dalam Pertandingan Pidato Rukun Negara baru-baru ini.
Dalam pada itu, Fadhlina memberitahu, lebih 280 daripada 389 sekolah daerah di Sarawak telah siap dibina atau dinaik taraf, manakala baki projek lain sedang giat dilaksanakan bagi memastikan persekitaran pembelajaran yang lebih kondusif dan selamat. – UKAS
