KUCHING: Pelantikan kehakiman boleh diperakukan oleh Yang di-Pertua Negeri Sabah dan Sarawak bagi mahkamah di kedua-dua negeri itu dan beberapa senarai jadual perundangan adalah antara empat perkara yang dipersetujui pada Mesyuarat Majlis Pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MTPMA63) di sini hari ini.
Timbalan Perdana Menteri Dato Sri Fadillah Yusof berkata, mesyuarat hari ini dipengerusi oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan hadiri Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor dan menteri-menteri berkaitan.
“Dua lagi perkara yang masih dibincang lanjut ialah berhubung pertambahan kerusi Parlimen di Sabah dan Sarawak,” katanya pada sidang media selepas menghadiri mesyuarat tersebut di sini, hari ini.
Fadillah yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) berkata,
Kerajaan Persekutuan bersetuju mempertimbangkan supaya bilangan kerusi Dewan Rakyat bagi Negeri Sabah dan Negeri Sarawak ditambah.
Bgaimanapun, ia memerlukan perincian dan perbincangan lanjut dari segi perundangan, katanya.
Menurut Fadillah, Kerajaan Persekutuan bersetuju untuk mengangkat Kertas Jemaah Menteri mengenai cadangan pindaan Perlembagaan Persekutuan bagi membolehkan Yang di-Pertua Negeri Sabah dan Yang di-Pertua Negeri Sarawak memperakukan pelantikan Pesuruhjaya Kehakiman di Negeri Sabah dan Negeri Sarawak.
Mengenai tuntutan pertambahan kerusi Parlimen, beliau berkata, berapa jumlah tambahan kerusinya masih belum diketahui kerana ia terserah kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) selepas mendapat kelulusan.
“Tuntutan lain berkaitan MA63 yang masih belum selesai akan terus dibincang dan dipantau dalam platform rundingan di bawah MTPMA63 iaitu Jawatankuasa Teknikal di bawah MTPMA63 yang dipengerusikan oleh saya sendiri dan beberapa Jawatankuasa Kerja yang ditubuhkan di peringkat kementerian/agensi berkaitan bagi memastikan tuntutan yang masih belum selesai tersebut diambil tindakan sewajarnya,” katanya.
Antaranya bidang pelancongan kerana Kerajaan Persekutuan malah kerajaan-kerajaan negeri tidak mempunyai perundangan khusus dalam perkara itu, katanya.
Justeru MTPMA63, katanya, membincangkan cadangan Pindaan Item 25A (Pelancongan) dalam Senarai I (Persekutuan) Jadual Kesembilan Perlembagaan Persekutuan kepada Senarai III (Bersama) Jadual Kesembilan Perlembagaan Persekutuan;
Kejayaan untuk menyelesaikan tuntutan-tuntutan tersebut semestinya cerminan hasil kerjasama utuh serta sebagai tanda permuafakatan yang wujud antara Kerajaan Persekutuan dengan Kerajaan Negeri Sabah dan Kerajaan Negeri Sarawak, tegas beliau.
