TATAU: Pesta Tatau diyakini mampu berkembang sebagai salah satu acara pelancongan penting di Sarawak.
Menteri di Jabatan Premier Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kakus, Datuk Sri John Sikie Tayai berkata, ini kerana kedudukan strategik Daerah Tatau di tepi Lebuh Raya Pan Borneo (LPB) yang memudahkan pesta diakses pengunjung dari pelbagai kawasan.
“Dengan sokongan padu semua pihak, kita yakin Pesta Tatau mampu berkembang sebagai salah satu acara pelancongan penting di Sarawak, sekali gus memberi manfaat ekonomi dan sosial kepada masyarakat,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menyampaikan hadiah kepada pemenang Regata Tatau sempena Pesta Tatau 2025 di sini, hari ini.
John Sikie berkata, susulan sambutan menggalakkan Pesta Tatau 2025, pesta terbabit bakal dianjurkan secara dwitahunan seterusnya akan berlangsung pada 2027.
