Program KASIH Kanak-Kanak diperluas ke PAKK – Nancy

KUCHING: Program Advokasi Perlindungan Kanak-Kanak: KASIH Kanak-Kanak disasar diperluaskan daripada sekolah ke 30 Pusat Aktiviti Kanak-Kanak (PAKK) di seluruh negara tahun ini.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Dato’ Sri Nancy Shukri berkata, program Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) itu di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan dilaksanakan dengan kerjasama Kementerian Pendidikan, polis dan komuniti.

Katanya, program terbabit bertujuan meningkatkan kesedaran tentang keselamatan kanak-kanak, penderaan, pengabaian dan eksploitasi.

“Pada 2024 sahaja, kita telah berjaya menjangkau 337 sekolah di seluruh negara. Bagi 2025, selain 30 PAKK, sasaran kita adalah sekurang-kurangnya 300 sekolah di seluruh negara,” katanya.

Beliau berkata demikian di majlis perasmian Program Advokasi Dasar Pelan Tindakan Pendidikan Kesihatan Reproduktif dan Sosial Kebangsaan (PEKERTI) Peringkat Sarawak dan Sentuhan Kasih: Khatan Perdana anjuran Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) di Sekolah Kebangsaan Gersik, di sini, hari ini.

Nancy berkata, melalui program tersebut, pihaknya juga terus memperkukuh kesedaran tentang keselamatan kanak-kanak termasuk keselamatan dalam talian agar mereka lebih terlindung daripada ancaman digital.

Selain itu, beliau juga mendedahkan Program Advokasi PEKERTI memberi manfaat kepada seramai 83,075 individu di seluruh negara sehingga Jun 2025.