KUCHING: Proses Penilaian Kesan Alam Sekitar (EIA) dalam semua aspek pembangunan bukan untuk menyekat pelaksanaannya tetapi sebagai garis panduan untuk membangunkannya secara bertanggungjawab.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, dengan mewujudkan perkongsian erat bersama agensi kerajaan, pemain industri dan orang ramai, kerajaan komited melindungi alam sekitar.
“Rakyat harus bersama-sama memastikan pembangunan dilaksanakan hari ini tidak menjejaskan kepentingan generasi akan datang,” katanya pada forum Minggu Pembangunan Antarabangsa (ICW) Borneo 2025 di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) di sini, hari ini.
Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg merasmikan forum tersebut.
Awang Tengah berkata, dalam melaksanakan projek pembangunan ia berkisar kepada usaha membina dan menjadikan Sarawak lebih hijau, mewujud persekitaran yang sihat dan mampan.
“Kita juga harus mewujud pembangunan seimbang antara pertumbuhan ekonomi dengan kelestarian alam sekitar seperti yang digariskan dalam Strategi Pembangunan Pasca Covid 2030,” tambahnya.
Menurut beliau, pemilihan tapak bangunan atau projek, bahan binaan dan tenaga digunakan serta sistem yang dilaksanakan, akan membentuk kualiti hidup generasi akan datang.
Membina bangunan, katanya, harus mengambil kira pembinaan mampan dalam semua rantaian nilai industri dan ekosistem dan mewujud kelestarian alam sekitar serta memulihara sumber asli Sarawak.
Pemilihan tapak secara bertanggungjawab akan menyokong biodiversiti, mengelak zon banjir dan mengalakkan ases kepada pengangkutan awam, katanya.
EIA adalah sebagai alat perancangan untuk menetapkan tapak atau projek melalui penilaian sebelum dibenarkan, tegas beliau.
Dalam usaha mentransformasikan Sarawak menjadi negeri lebih hijau dan mampan, beliau berkata, adalah penting bagi jurutera untuk mengambil kira topograpi unik kawasan terbabit, kecerunan lereng dan keadaan tanah, terutama dalam merekabentuk dan membina infrastruktur kritikal seperti jalan raya dan jambatan.
Faktor geoteknikal dan alam sekitar adalah perkara penting dalam menjamin kemampanan dan ketahanan, tegas Awang Tengah.
Sebagai misalan pembinaan Lebuh Raya Pesisir Utara yang memperkenalkan jalan bawah tanah dekat Bukit Mas di Limbang untuk menangani lereng yang curam sambil mengurangkan kesan alam sekitar dan memelihara landskap asli, katanya.
