KUCHING: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Sarawak diminta menggunakan taktik penyamaran sebagai penumpang bas ekspres bagi memantau pemandu mematuhi peraturan jalan raya.
Timbalan Menteri Pengangkutan Malaysia, Datuk Hasbi Habibollah, berkata, inisiatif ini bertujuan
mengelakkan risiko kemalangan
“Kita akan menempatkan ‘mata-mata’ di dalam bas untuk memerhati pemandu.
“Ini bagi memastikan mereka tidak menggunakan telefon bimbit semasa memandu, menukar pemandu apabila sepatutnya ada penukaran pemandu bagi jarak yang telah ditetapkan dan tidak memandu melebihi had masa yang dibenarkan dan tidak memandu laju,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas Program Advokasi Keselamatan Jalan Raya sempena Musim Perayaan Krismas 2024 di Terminal Bas Kuching Sentral, di sini malam tadi.
Hasbi menegaskan, tindakan tegas akan diambil sekiranya didapati ada pelanggaran peraturan.
Tegasnya, jika pengintip mendapati sebarang pelanggaran, bas tersebut akan diberhentikan serta-merta dan tindakan sewajarnya akan dikenakan.
“Syarikat juga bertanggungjawab memastikan perjalanan dapat diteruskan dengan menukar pemandu baharu jika perlu,” tambahnya.
Menurut beliau, operasi ini bukan sahaja dilaksanakan semasa Krismas tetapi juga semasa perayaan lain seperti Tahun Baharu Cina dan Hari Raya.
