KUCHING: Sarawak menyambut baik komitmen Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution untuk mempercepatkan proses permohonan kewarganegaraan kepada tempoh satu tahun.
Ini dengan menetapkan Prosedur Operasi Piawai (SOP) baharu kepada Kementerian Dalam Negeri (KDN) bermula 2025 dan disampaikan melalui laman sosial rasmi Menteri Dalam Negeri pada 17 Disember 2024.
Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak, Dato Sri Fatimah Abdullah berkata, Kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) berpegang teguh pada prinsip bahawa akses kepada pendidikan dan perkhidmatan kesihatan adalah hak asasi manusia yang tidak boleh dinafikan kepada sesiapa, termasuk kanak-kanak tanpa kewarganegaraan.
“Oleh itu, Kerajaan GPS menyokong usaha Kerajaan Madani melalui KDN yang komited untuk menangani isu kewarganegaraan secara efisien dan memastikan hak rakyat terjaga dan terbela,” katanya dalam kenyataannya.
Fatimah berkata, perkembangan ini membawa harapan baharu kepada ibu bapa kanak-kanak tanpa kewarganegaraan di Sarawak yang selama ini berhadapan dengan ketidaktentuan dan tekanan mengenai status kewarganegaraan anak-anak mereka.
“Proses permohonan kewarganegaraan yang dipercepatkan akan membolehkan kanak-kanak tanpa kewarganegaraan memperoleh akses kepada pendidikan, perkhidmatan kesihatan, bantuan kebajikan, peluang pekerjaan,” katanya.
Katanya, mereka juga menikmati kemudahan untuk memohon indikator “K” dalam kad pengenalan bagi melayakkan mereka menerima pelbagai bantuan yang disediakan untuk anak Sarawak.
