Para SUKMA 2026: Sarawak sasar pertahan kejuaraan

KUCHING: Skuad Para Sukan Malaysia (SUKMA) Sarawak akan memulakan pencarian bakat baharu seawal Februari tahun depan dalam usahanya mempertahankan gelaran juara keseluruhan pada edisi di Selangor pada 2026.

Ia dinyatakan oleh Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti, Datuk Mohammad Razi Sitam sambil menambah usaha ini penting untuk memastikan kontinjen negeri terus kompetitif dan mampu mengekalkan kejuaraan buat kali ke-15.

Katanya, dengan perancangan awal dan strategi teliti, Sarawak yakin untuk mengekalkan dominasi dalam Para SUKMA Selangor 2026, sekali gus meneruskan legasi kecemerlangan dalam arena sukan para negara.

“Kita akan mempersiapkan atlet lebih awal dengan memberi pendedahan dan latihan intensif.

“Pencarian bakat baharu adalah langkah penting bagi melahirkan pelapis berkualiti yang dapat mengharungi cabaran temasya akan datang,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap di Majlis Apresiasi Kontinjen Para SUKMA XXI Sarawak di sini, malam tadi.

Tambah Razi, Para SUKMA September lalu, Sarawak mencatat kejayaan besar dengan meraih 82 pingat emas, 53 perak, dan 74 gangsa, menjadikan jumlah keseluruhan 209 pingat.

Kejayaan itu mengekalkan status Sarawak sebagai juara keseluruhan untuk kali ke-14.