Didikan agama asas pembentukan generasi muda berakhlak mulia, berilmu

MATU: Pendidikan agama yang kukuh menjadi asas penting dalam pembentukan generasi muda berakhlak mulia selain berilmu.

Ahli Parlimen Igan, Ahmad Johnie Zawawi berkata, pendidikan agama juga melengkapkan generasi muda dengan nilai-nilai murni untuk menghadapi kehidupan yang semakin mencabar.

“Pendidikan agama tunjang dalam membentuk generasi muda yang tidak hanya berilmu, tetapi berakhlak tinggi. Ia penting untuk menghadapi cabaran kehidupan mendatang,” katanya berucap merasmikan Majlis Khatam Al-Quran Sekolah Kebangsaan (SK) Bawang Tian di Dewan Sri SEBATI, di sini semalam.

Beliau turut memuji Sekolah Kebangsaan (SK) Bawang Tian atas komitmen mendidik pelajar merangkumi aspek akademik dan kerohanian.

Usaha sekolah ini, katanya, wajar dijadikan contoh dalam melahirkan generasi pelajar yang seimbang dari segi ilmu duniawi dan ukhrawi.

Majlis ini diraikan dengan kehadiran ibu bapa, guru-guru, dan komuniti untuk menghargai kejayaan pelajar yang telah khatam Al-Quran dengan bimbingan pihak sekolah.

Selain diperdengarkan dengan bacaan Al-Quran serta selawat, majlis dimeriahkan dengan persembahan nasyid oleh para pelajar, memaparkan penguasaan mereka dalam pendidikan agama.