BINTULU: Seramai 100 pelajar dari SK Agama Bintulu, SMK Kemena, dan SMK Baru menghadiri Program Advokasi Perlindungan Kanak-Kanak: Anti Dadah dan Komuniti 2024.
Program terbabit bertema “Revolusi Minda: Cabaran Dadah dalam Kalangan Remaja, Kanak-Kanak dan Keluarga” diadakan di Universiti Putra Malaysia Kampus Bintulu (UPMKB), di sini, hari ini.
Program bertujuan memupuk kesedaran mengenai bahaya penyalahgunaan dadah, khususnya dalam kalangan remaja dan kanak-kanak.
Pengerusi Eksekutif ADAP Capital yang mewakili Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jepak, Pengiran Datuk Daud Pengiran Putera menekankan kepentingan pendidikan dan kesedaran terhadap gejala penyalahgunaan dadah di kalangan generasi muda sebagai langkah mencegah dadah yang semakin membimbangkan.
Beliau juga mengingatkan peserta menyemai tekad yang kuat dalam menolak pengaruh negatif dalam masyarakat serta berusaha menumpukan perhatian kepada pelajaran.
