Kampung Trombol terima peruntukan pembangunan RM900,000

KUCHING: Kampung Trombol, Telaga Air di sini terus menerima perhatian dari segi pembangunan infrastruktur.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Dato Sri Nancy Shukri berkata, sejumlah RM900,000 peruntukan diluluskan.

Jelasnya, peruntukan tersebut untuk melaksanakan beberapa projek yang memberi manfaat kepada penduduk serta sektor pelancongan.

“Pada 2025, Projek Bina Baharu Jalan Penghubungan Desa (JPD) bernilai RM500,000 dilaksanakan.

“Ia bagi meningkatkan akses dan kemudahan perhubungan penduduk Kampung Trombol,” katanya.

Nancy berkata demikian semasa perasmian Pengenalan Program Sahabat PSSS Yayasan Kebajikan Negara Malaysia (YKN) : Mahasiswa Prihatin dan Jejak Hijau, Selamatkan Pantai dan Laut Kita di Paradise Beach Trombol di sini, hari ini.

Nancy yang juga Ahli Parlimen Santubong menambah, beberapa lagi projek turut sedang dalam pelaksanaan dan akan dilaksanakan.

“Selain itu, projek naik taraf jalan masuk ke Pantai Paradise Trombol dengan kos RM350,000 telah diluluskan di bawah Projek Transformasi Luar Bandar (RTP) Ahli Parlimen bagi tahun 2027.

“Projek tersebut dijangka dilaksanakan dalam masa terdekat bagi mempertingkat kemudahan akses ke kawasan pelancongan berkenaan,” tambahnya.

Dalam usaha untuk meningkatkan keselesaan kepada pengunjung katanya, projek pembinaan baharu tandas awam dan bilik mandi di kawasan pelancongan Trombol Paradise turut diluluskan dengan peruntukan sebanyak RM100,000.