BETONG: Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Saribas mencipta kejayaan apabila dinobatkan sebagai Juara Keseluruhan Perarakan Gawai Dayak Peringkat Bahagian Betong 2026 di Dewan Panglima Rentap Betong, semalam.
Kemenangan itu membolehkan SMK Saribas membawa pulang wang tunai RM10,000, Piala Pusingan serta hadiah iringan tajaan PEPSI. Sekolah berkenaan turut meraih Anugerah Kontinjen Pakaian Terbaik dan muncul Johan Kategori C.
Perarakan tahunan tersebut menyaksikan penyertaan seramai 2,200 peserta mewakili 32 kontinjen daripada pelbagai agensi, institusi pendidikan, pertubuhan dan komuniti di Bahagian Betong.
Majlis perasmian disempurnakan oleh Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak, Datuk Gerald Rentap Jabu.
Bagi Kategori A melibatkan jabatan kerajaan, badan berkanun dan sektor swasta, Pejabat Kesihatan Bahagian Betong muncul johan, diikuti Jabatan Kerja Raya (JKR) Bahagian Betong dan Jabatan Bekalan Air Luar Bandar (JBALB) Bahagian Betong.
Kategori B pula menyaksikan Iban Balau Community Club merangkul kejuaraan, manakala Persatuan Kebudayaan Kadazan Dusun (KDCA) Sarawak dan Gerempung Tuai Rumah (GTR) Layar masing-masing di tempat kedua dan ketiga.
Dalam Kategori C, SMK Saribas mengungguli pertandingan dengan SMK Saint Augustine Betong muncul naib johan, manakala SMK Spaoh menduduki tempat ketiga. Bagi Kategori D, SK Saint Augustine dinobatkan sebagai johan mengatasi SK Nanga Passa dan SK Paku Sentral.
Anugerah khas Persembahan Terbaik dimenangi oleh Pejabat Kesihatan Bahagian Betong, manakala Anugerah Penyertaan Teramai menjadi milik GTR N37 Bukit Saban yang menghimpunkan 120 peserta.
Penganjuran Perarakan Gawai Dayak Bahagian Betong 2026 dilihat berjaya memperkukuh semangat perpaduan dan memartabatkan warisan budaya masyarakat pelbagai kaum di Sarawak.
