KUCHING: Kerajaan Sarawak kini memberi perhatian serius terhadap cadangan menubuhkan Fakulti Perubatan dan Kejururawatan di universiti milik kerajaan negeri sebagai langkah strategik untuk meningkatkan bilangan doktor dan jururawat tempatan pada masa hadapan.
Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak, Datuk Dr Annuar Rapae’e berkata, kajian kebolehlaksanaan sedang dijalankan berikutan kekurangan 1,871 doktor, 246 pakar dan 2,300 jururawat di seluruh negeri ketika ini.
Menurut beliau, penubuhan fakulti tersebut juga bertepatan dengan pelaksanaan Skim Pendidikan Tinggi Percuma Sarawak (FTES) yang akan bermula tahun hadapan, menyaksikan program perubatan turut disenaraikan sebagai antara kursus yang bakal ditawarkan.
“Kerajaan memahami keperluan mendesak untuk menambah tenaga kerja kesihatan khususnya doktor dan jururawat. Oleh itu, cadangan menubuhkan Fakulti Perubatan dan Kejururawatan sedang diperhalusi demi memenuhi keperluan jangka panjang negeri,” katanya.
Beliau berkata demikian menjawab soalan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Daro, Dr Safiee Ahmad pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19 hari ini.
Tambahnya, kerajaan negeri juga merancang menjalin kerjasama dengan universiti seperti UNIMAS, UiTM serta institusi luar negara bagi memastikan fakulti baharu tersebut menepati standard akademik dan akreditasi profesional.
Kerjasama itu, katanya, penting bagi memastikan fakulti berkenaan mempunyai tenaga akademik mencukupi, fasiliti latihan klinikal dan mematuhi piawaian badan profesional berkaitan.
Beliau turut memaklumkan bahawa Universiti Teknologi Sarawak (UTS) kini sedang melaksanakan kajian kebolehlaksanaan bagi menubuhkan Fakulti Perubatan di institusi tersebut.
Sementara itu, pelbagai bantuan pendidikan dalam bidang perubatan turut disediakan melalui Yayasan Sarawak, termasuk Pinjaman Pelajaran Yayasan Sarawak (Dalam & Luar Negara), Biasiswa Khas Program Perubatan UNIMAS serta Biasiswa Tun Taib (STEM).
Sarawak kini mencatat nisbah seorang doktor bagi 510 penduduk, lebih rendah berbanding kadar nasional 1:406, sekali gus menunjukkan keperluan mendesak untuk menambah jumlah doktor di negeri ini.
