Kemboja cadang Sarawak wujudkan penerbangan terus Kuching ke Phnom Penh

KUCHING: Kemboja mencadangkan kepada Kerajaan Sarawak untuk mewujudkan penerbangan terus dari Kuching ke Phnom Penh apabila syarikat penerbangannya, AirBorneo mula beroperasi kelak.

Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Penyelaras Projek untuk Agensi Pembangunan Wilayah, DBKU dan Hal Ehwal Islam) Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi berkata, cadangan tersebut disampaikan oleh Menteri Kanan Misi Khas (Hal Ehwal Islam) Kemboja Neak Oknha Datuk Dr Othsman Hassan kepada Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

“Antara permohonan daripada pihak Kemboja kepada Premier Sarawak ialah memasukkan Phnom Penh sebagai destinasi sekiranya sistem penerbangan Sarawak nanti iaitu AirBorneo, agar kita mempunyai laluan ataupun penerbangan khas daripada Phnom Penh ke Kuching dan Kuching ke Phnom Penh,” ujar beliau.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas bersama-sama delegasi Kemboja mengadakan kunjungan hormat ke atas Datuk Patinggi Abang Zohari di Kompleks Satria Pertiwi hari ini.

Menurut Dr Othsman, penerbangan daripada Kemboja ke Sarawak kini memakan masa lebih 10 jam termasuk transit dari Kuala Lumpur ke Kuching, namun ianya dapat dipendekkan kurang daripada tiga jam sekiranya mempunyai penerbangan terus.

Selain itu turut dibincangkan mengenai permohonan untuk menghantar pelajar daripada Phnom Penh menuntut di Sekolah Menengah Antarabangsa Islam Sarawak yang kini masih dalam proses pembinaannya.

Menurut Abdul Rahman, pelajar-pelajar di peringkat sekolah menengah daripada Phnom Penh akan dijemput untuk belajar di sekolah ini nanti.

“Sebenarnya sekolah ini disebut sebagai Sekolah Antarabangsa Islam kerana ia akan mengambil kira pengambilan pelajar daripada negara-negara minoritinya Islam yang menjadi anggota negara Majlis Dakwah Islamiah Serantau Asia Tenggara dan Pasifik (RISEAP) termasuk Kemboja ini tadi yang telah menjadi anggota RISEAP,” jelas beliau lagi.