KUCHING: Sarawak melancarkan Sarawak Business Angel Network (SBAN) bagi memupuk inovasi, memperkasa keusahawanan serta mendorong pertumbuhan ekonomi.
Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, pelancaran itu penting dalam usaha kerajaan negeri memperkukuh ekosistem inovasi dan keusahawanan.
“Melalui Strategi Pembangunan Pasca Covid-19 (PCDS) 2030, kita telah merangka pelan hala tuju yang jelas dan bercita-cita tinggi untuk menjadikan Sarawak sebuah ekonomi maju berasaskan inovasi.
“Namun, bagi merealisasikan visi ini, kita perlu memberi ruang kepada syarikat pemula niaga, golongan belia dan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) untuk berkembang,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam teks ucapan yang dibacakan oleh Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak Datuk Dr. Ripin Lamat semasa pelancaran itu di sini, hari ini.
Abdul Karim menjelaskan, penekanan turut diberikan kepada pembangunan infrastruktur idea, bakat dan peluang.
Tegasnya, inovasi tidak dapat berkembang secara bersendirian kerana ia memerlukan lebih daripada sekadar pembiayaan, selain menuntut keyakinan, bimbingan, kerjasama serta keberanian mengambil risiko strategik.
“Di sinilah SBAN memainkan peranan sebagai jambatan yang menghubungkan cita-cita dengan peluang, serta mempertemukan usahawan bersama pelabur yang yakin terhadap visi mereka,” katanya.
Majlis pelancaran turut menyaksikan pemeteraian Memorandum Perjanjian (MOA) antara MBAN dan SBAN, yang disaksikan oleh Datuk Dr Ripin bersama Ketua Pegawai Eksekutif SDEC, Dato Ir. Ts. Sudarnoto Osman dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Cradle, Norman Matthieu Vanhiker.
