SIMANGGANG: Mangsa kebakaran Kampung Tengah menerima bantuan subsidi sewa rumah menerusi inisiatif Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lingga, Dayang Noorazah Awang Sohor dengan kerjasama Pusat Khidmat N.28 Lingga.
Menurut laporan Jawatankuasa Bencana Bahagian Sri Aman, beberapa rumah musnah sepenuhnya manakala tiga lagi mengalami kerosakan kecil, dalam kejadian kebakaran 29 Julai lalu.
Bantuan kilat telah disalurkan sejurus selepas kejadian, dan inisiatif ini memberi ruang kepada mangsa untuk meneruskan kehidupan dengan lebih stabil sementara menanti penempatan semula.
Dayang Noorazah dalam ucapannya menyatakan rasa simpati dan berusaha untuk terus memperjuangkan nasib rakyat.
“Saya komited memastikan setiap mangsa mendapat perhatian sewajarnya. Kita mahu mereka (mangsa kebakaran) bangkit semula dan tidak merasa terpinggir,” tegasnya.
Ucapan terima kasih turut disampaikan kepada Ketua Kaum Kampung Tengah, Kiflee Morni yang menjadi tulang belakang pengurusan kebajikan penduduk sejak awal tragedi.
Penghargaan juga diberikan kepada agensi kerajaan, Badan Bukan Kerajaan (NGO), persatuan, petugas barisan hadapan, KMKK, Biro Bencana, dan orang awam yang tidak putus memberi bantuan dan sokongan moral.
Sementara itu, dalam majlis yang berlangsung di Pejabat Daerah Sri Aman itu telah dimulakan dengan taklimat oleh Pegawai Daerah Sri Aman, Syariff Bujang bersama Pegawai Tadbir Seksyen Pembangunan dan Transformasi Sosial, Mohd Hamizan Yahya yang berkongsi jumlah penerima bantuan dan perkembangan terkini kebajikan mangsa.
Majlis turut dihadiri Timbalan Ketua Cawangan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Lingga, Kaunselor Suhaidi@Roslan Los, Temenggong Mohd Shah Achang, Pemanca Abang Norin Abang Norudin, Penghulu Zameri Morsidi serta penerima bantuan.
