Kerajaan perkukuhkan penyelesaian NCR

SIBU: Penyerahan surat hak milik tanah kepada pemilik yang terlibat menggambarkan pengiktirafan kerajaan terhadap kerjasama masyarakat dalam menjayakan pengukuran Tanah Hak Adat Bumiputera (NCR) di bawah inisiatif baharu.

Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, berkata demikian melalui teks ucapan yang dibacakan oleh Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar, Datuk Len Talif Salleh, pada majlis penyerahan dokumen warta, surat hak milik tanah dan cek pampasan kepada
penerima di Kompleks Islam Sibu.

Kehadiran 231 penerima pada majlis itu menunjukkan bahawa tanah bukan sekadar aset fizikal, tetapi merupakan nadi kehidupan serta warisan turun-temurun masyarakat, katanya.

Menurutnya, kawasan Lemangan/Bekakap, Bawang Assan dan Jalan Bawang Assan/Tanjung Manis telah disukat dan diwartakan pada Jun 2025, melibatkan keluasan 807 hektar.

Kawasan Tebalong Batang Oya di Selangau seluas 1,042 hektar turut diwartakan pada bulan yang sama.

“Seramai 27 tuai rumah di kedua-dua kawasan tersebut menerima warta tanah NCR masing-masing pada majlis hari ini,” katanya.

Bagi penyerahan surat hak milik Seksyen 18, Awang Tengah berkata kawasan Pasai Siong, yang diwartakan pada 2013 berkeluasan 5,904 hektar diluluskan untuk pengukuran individu pada 2017.

Sementara itu, kawasan Ngemah, Kanowit, yang diwartakan pada 2017 melibatkan 10,047 hektar turut diluluskan untuk pengukuran individu pada 2021.

Beliau menambah, kawasan Nanga Dap dan Mapai di Kanowit, yang diwartakan di bawah Seksyen 6 Kanun Tanah Negeri (KTN) pada 2023 meliputi 5,283 hektar manakala kawasan Nanga Tanyit di Selangau seluas 30,189 hektar diluluskan untuk pengukuran individu pada 2017.

Sebanyak 195 surat hak milik Seksyen 18 melibatkan jumlah keluasan 397.84 hektar diserahkan kepada 131 penerima.

Majlis itu turut menyaksikan penyerahan cek pampasan tanah kepada pemilik yang terlibat dalam projek pembinaan laluan baharu menghubungkan Teku–Pasai Siong ke Kemuyang.

Projek yang dilaksanakan oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) Sibu itu melibatkan pampasan berjumlah RM4.48 juta, membabitkan 76 bidang tanah berkeluasan 28.75 hektar, terdiri daripada tiga bidang Tanah Rizab Komunal Bumiputera, empat bidang Tanah Hak Adat Bumiputera dan 69 bidang tanah berhak milik membabitkan 170 penerima.

“Projek ini akan membuka laluan baharu dari Kemuyang ke Teku–Pasai Siong, sekali gus menyediakan pilihan perjalanan yang lebih singkat, selesa dan bermanfaat kepada penduduk,” katanya.

Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tamin, Christopher Gira Sambang, dan ADUN Ngemah, Anyi Jana.