TELAGA AIR: Pesta Regata Telaga Air bermula semalam, di Jeti Esplanade Kampung Telaga Air di sini.
Sebanyak lapan acara perlumbaan berlangsung pada hari pertama itu yang bermula 8.30 pagi.
Perlumbaan dalam acara Saringan A iaitu bagi kategori 30 pengkayuh lelaki, 10 pengkayuh lelaki, 20 pengkayuh lelaki,15 pengkayuh lelaki dan 25 pengkayuh lelaki.
Manakala, dalam Saringan B pula ialah bagi kategori 20 pengkayuh lelaki, 30 pengkayuh dan 15 pengkayuh lelaki.
Antara yang hadir menyaksikan regata pada hari ini pertama semalam ialah Timbalan Setiausaha Perbandaran Padawan, Henry Jalin Watt, Timbalan Pengerusi Majlis Perbandaran Padawan (MPP) Kr Mahmud Dato Sri Ibrahim yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengelola Pesta Regata Telaga Air 2025.
Hadir sama ialah Penghulu Telaga Air Murshidi Johari, Ketua Kaum Zaini Tanggek dan Kr Sebeki Jen selaku Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pengelola Pesta Telaga Air 2025.
Acara perlumbaan dalam Regata Telaga Air pada hari pertama berakhir jam 4.30 petang.
Pesta Regata Telaga Air 2025 dikelolakan MPP dan Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan (JKK) Kampung Telaga Air dan didukung oleh Kementerian Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan dan Sukan Sarawak serta Pejabat Pusat Khidmat Masyarakat Parlimen P.193 Santubong dan Pejabat Pusat Khidmat DUN N.4 Pantai Damai.
Acara perasmian Pesta Regata Telaga Air akan dilakukan Timbalan Menteri Di Jabatan Premier Sarawak (Penyelaras Projek Agensi Pembangunan Wilayah, Dewan Bandaraya Kuching Utara dan Hal ehwal Islam) Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri N.4 Pantai Damai hari ini.
Manakala, acara penangguhan Pesta Regata Telaga Air dijangka dilakukan oleh Menteri Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan dan Sukan, Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah pada Ahad.
