SAMARAHAN: Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) merangka sebanyak 42 inisiatif Game Changer di bawah Agenda Transformasi Desa 2025.
Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Rubiah Wang berkata, ini berikutan hampir 8.14 juta rakyat Malaysia atau 23.8 peratus masih tinggal di luar bandar dan jurang pendapatan antara bandar dan desa melebar dari RM3,631 pada 2019 kepada RM4,281 (2022).
“Pengurusan data bersepadu, pendigitalan komuniti desa, pembinaan sahsiah dan kepimpinan belia serta pengukuhan ekonomi turut dimasukkan dalam inisiatif tersebut,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyempurnakan Program Bitara INTAN “Seminar Kemampanan Pembangunan Wilayah Luar Bandar: Sinergi Strategik Agensi Awam” di INTAN Kampus Wilayah Sarawak, di sini, hari ini.
Rubiah berkata, inisiatif ini disokong pelaksanaan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13) dan Pelan Strategik KKDW 2026–2030 yang memberi tumpuan kepada pemerkasaan TVET, pelancongan desa, pembangunan industri halal, pemerkasaan PMKS, pendidikan awal kanak-kanak dan pemerkasaan Bumiputera.
“Kerajaan kini juga tertumpu kepada menaikkan ‘lantai kehidupan’ masyarakat desa,” katanya.
Menurutnya, ini dengan menyediakan kemudahan asas lengkap, bekalan air bersih dan elektrik stabil, jaringan jalan yang baik, pendidikan berkualiti serta perlindungan sosial menyeluruh.
Selain itu, antara inisiatif baharu yang diumumkan ialah pemasangan 40,000 lampu jalan kampung berasaskan LED dan solar, pengukuhan 281 institusi TVET KKDW untuk melahirkan tenaga kerja desa berkemahiran tinggi, serta pelaksanaan Program Desa Kirana bagi merancakkan pelancongan desa sempena Tahun Melawat Malaysia 2026.
