TYT penceramah utama Syarahan Negarawan 2025 anjuran UNIMAS

SAMARAHAN: Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) menganjurkan Syarahan Negarawan UNIMAS 2025 yang menampilkan Yang di-Pertua Negeri, Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar sebagai penceramah utama hari ini.

Syarahan bertajuk “Perjanjian Malaysia 1963: Kunci Keharmonian Persekutuan” yang juga dihadir isteri, Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi di Arena Gemilang, DeTAR PUTRA, kampus UNIMAS, di sini.

Dalam syarahan itu, Tun Dr Wan menekankan pemahaman mendalam sejarah pembentukan Malaysia amat penting bagi mengekalkan keadilan serta perpaduan dalam sistem persekutuan.

Katanya, Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) bukan sekadar dokumen sejarah tetapi merupakan perjanjian yang memberi jaminan kepada Sabah dan Sarawak akan penyertaan mereka dalam Pembentukan Malaysia.

“Menghayati semangat perjanjian ini adalah asas kepada keharmonian negara,” tegas beliau.

Beliau turut mengupas implikasi MA63 terhadap hubungan kerajaan pusat dan negeri sambil menegaskan perlunya semua pihak menjunjung tinggi semangat asal perjanjian tersebut.

“Hubungan antara persekutuan dan negeri tidak semestinya sentiasa harmonis, namun selagi MA63 dihormati, perpaduan dan kestabilan politik negara akan dapat dikekalkan,” jelasnya.

Beliau menambah bahawa usaha pemulihan hak di bawah MA63 adalah langkah penting bagi memastikan Sabah dan Sarawak menikmati pembangunan setara dengan negeri-negeri lain di Semenanjung.

“Restorasi hak-hak yang terhakis sejak sekian lama perlu dilaksanakan dengan berhemah demi keadilan bersama dan kestabilan negara, ia bukan hanya soal perundangan tetapi soal maruah dan hak rakyat,” ujarnya.

Wan Junaidi juga berkata generasi muda khususnya perlu memahami sejarah dan menghargai perjuangan terdahulu supaya tidak mudah dipengaruhi naratif yang menyimpang daripada fakta sebenar.

Beliau turut menyentuh pelbagai topik penting termasuk sejarah pembentukan Malaysia, peranan Suruhanjaya Cobbold, Jawatankuasa Antara Kerajaan (IGC), jaminan hak Sabah dan Sarawak, cabaran pelaksanaan MA63 sepanjang lebih lima dekad, isu pemulihan kuasa negeri serta langkah restorasi hak yang mula dilaksanakan semula sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

FOTO: ASTANA NEGERI SARAWAK