KUCHING: Mesyuarat Jawatankuasa Teknikal Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) di Kuala Lumpur esok, bakal membincangkan tuntutan Kerajaan Sarawak untuk memperkukuh penggunaan bahasa Inggeris dalam sistem pendidikan khususnya bagi mata pelajaran Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM).
Timbalan Perdana Menteri, Dato Sri Fadillah Yusof berkata, ia merupakan antara tuntutan penting Sarawak dalam bidang pendidikan.
“Namun ia perlu diteliti secara mendalam berikutan dasar kebangsaan yang menekankan keseragaman kurikulum serta bahasa pengantar.
“Esok, saya akan mendengar laporan dalam mesyuarat jawatankuasa teknikal MA63. Salah satunya ialah berhubung kait dengan bidang pendidikan yang dituntut oleh Sarawak. Sudah pasti salah satunya ialah cabaran dari segi dasar di peringkat nasional, dasar bahasa dan sebagainya.
“Jadi, kita akan cari kaedah bagaimana nak mempermudahkan tuntutan Sarawak untuk menggunakan bahasa Inggeris dalam pembelajaran bidang-bidang yang melibatkan STEM. Itu mungkin dapat diputuskan esok,” katanya selepas menghadiri Program Bicara Eksekutif Madani di Institut Aminuddin Baki Cawangan Sarawak, di sini hari ini.
Jelasnya, isu tersebut perlu diteliti secara menyeluruh agar tidak menjejaskan keseragaman pendidikan di peringkat nasional.
“Sebab pertama kita ada dasar keseragaman dari segi silibus, kurikulum dan sebagainya yang disusun atur untuk keseluruhan Malaysia. Jadi kalau ada yang berbeza daripada itu nanti, mungkin tidak wujud keseragaman.
“Mungkin salah satu cara ialah kita kekalkan, tapi buat tambahan,” ujar Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air itu lagi.
Jelasnya, selain isu pendidikan, mesyuarat berkenaan turut akan membincangkan aspek kesihatan, termasuk penubuhan Pusat Kanser Sarawak.
