BINTULU: Sarawak perlu memanfaatkan kelebihan sebagai tuan rumah untuk merampas kembali kejuaraan Sukan Malaysia (SUKMA) ke-21 selepas kali terakhir dinobatkan juara pada 30 tahun lalu.
Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah, Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom berkata, kali terakhir Sarawak menjadi juara temasya sukan dwitahunan itu pada 1994 dan kini peluang itu kembali lagi untuk direalisasikan.
“Kalau 30 tahun lalu kita pernah menjadi juara SUKMA dan kini telah tiba masanya peluang kita untuk merampas kembali gelaran itu,” ujarnya.
Beliau berkata demikian semasa majlis perasmian Larian Baton SUKMA & Para SUKMA XXI Sarawak 2024 di Dewan Suarah Bintulu, hari ini.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kemena menambah, Kerajaan Sarawak bersetuju menjadi tuan rumah kejohanan itu bukan sahaja bersedia malah atas semangat kecintaan kepada sukan, semangat kerjasama, kesukanan dan perpaduan.
“Tetapi di sebalik cerita dalam sukan ini kita mahu semangat kerjasama, semangat berpasukan dan perpaduan akan secara tidak langsung akan disemarakkan dalam kesukanan,” ujarnya.
Acara larian baton ini disertai ikon sukan dari bahagian Bintulu yang diketuai Marylyne Bungan Lian dari sukan taekwondo serta ikon-ikon sukan yang lain.
Turut hadir Menteri di Jabatan Premier Sarawak Dato Sri John Sikie Tayai, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jepak Iskandar Turkee, ADUN Tanjung Batu Johnny Pang Leong Ming.
GAMBAR:UKAS
