GPS akan usul cadangan kepada SPR semakan semula kawasan DUN

KUCHING: Kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) akan mengusulkan beberapa pandangan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) berhubung semakan semula kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN).

Premier Sarawak merangkap Pengerusi GPS, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari berkata perkara itu akan dibincangkan bersama pihak SPR pada tahun ini.

“Mungkin tahun ini akan ada semakan semula konstituensi di Sarawak. Oleh itu, kita akan memberi pandangan kepada SPR beberapa perkara yang harus diambil kira bagi menentukan konstituensi baharu yang akan diwujudkan SPR,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Kepimpinan Tertinggi GPS di Ibu Pejabat Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Jalan Bako hari ini.

Abang Johari menjelaskan, penubuhan kawasan ini juga akan mengambil kira parameter asas tertentu.

Katanya, Sarawak perlu mempunyai konstituensi yang bercampur, bermaksud semua kaum ada dalamnya dan mempunyai perwakilan seimbang di antara luar bandar dan bandar.

Hadir sama Timbalan-Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, Datuk Amar Profesor Dr Sim Kui Hian, Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak Dan Kesejahteraan Komuniti Dato Sri Fatimah Abdullah, Menteri Kerja Raya Dato Sri Alexander Nanta Linggi dan exco lain.