Dr. Wan Junaidi beri penghormatan terakhir kepada Mutang Tagal

KUALA LUMPUR: Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar memberi penghormatan terakhir kepada mendiang Senator Datuk Mutang Tagal di Nirvana Centre, Kuala Lumpur pada hari ini.

Ketibaan beliau bersama isteri Toh Puan Fauziah Mohd Sanusi pada jam 11.30 pagi disambut isteri mendiang, Datin Ho May Leng serta anak-anaknya.

Dr. Wan Junaidi sempat meluangkan masa kira-kira 30 minit dan bertanya khabar bersama keluarga mendiang.

Sementara itu, Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim bersama rombongan juga hadir memberi penghormatan terakhir kepada mendiang pada jam 12 tengah hari tadi.

Mutang,70, menghembuskan nafas yang terakhir pada jam 11.46 pagi di Institut Jantung Negara (IJN), Kuala Lumpur semalam.

Sebelum ini, mendiang menerima rawatan di IJN setibanya di Malaysia 6 Mei lalu selepas berada di Azerbaijan untuk lawatan kerja rasmi.

Pada Ahad, upacara penghormatan terakhir akan dilakukan di BEM Airport Road Church, Miri pada jam 10 pagi.

Manakala pada Isnin, upacara kebaktian akan diadakan di BEM Canada Hill Church, Miri bermula jam 9 pagi sehingga selesai dan urusan pengebumian dilakukan di Perkuburan SIB, Lambir, Miri pada Isnin.

Untuk rekod, Mutang yang lahir pada 5 Oktober 1954 dipilih menjadi Yang di-Pertua Dewan Negara ke-20 mengangkat sumpah di Dewan Negara pada 19 Februari 2024.

Pelantikan itu sekali gus menjadikan mendiang yang berasal dari Lawas mencipta sejarah tersendiri, menjadi pemimpin pertama daripada etnik Lun Bawang dilantik sebagai Yang di-Pertua Dewan Negara.

GAMBAR:ASTANA NEGERI