Azerbaijan mahu jadikan Sarawak rakan kongsi

KUCHING: Azerbaijan melihat Sarawak sebagai antara negeri terpenting dari sudut pembangunan ekonomi di rantau ini dan berminat untuk menjadi rakan dagangannya.

Menurut Duta Besar Azerbaijan ke Malaysia, Irfan Davudov, Sarawak dan Azerbaijan juga berpotensi untuk menjalin kerjasama dalam bidang pendidikan, hubungan kewangan, bidang kebudayaan dan pelbagai lagi.

“Sarawak merupakan antara negeri terpenting dari sudut pembangunan ekonomi dan kunjungan saya ke sini untuk menjalinkan hubungan yang lebih rapat dalam kalangan pemain industri perniagaan Sarawak, dengan universiti-universiti di Sarawak,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa ditemui media selepas mengetuai delegasi Azerbaijan melakukan kunjungan hormat ke atas Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, hari ini.

Dalam pertemuan ringkas itu juga, beliau telah berbincang dengan Premier Sarawak tentang Persidangan Perubahan Iklim PBB 2024 (UNFCCC COP 29) yang akan bersidang pada November 2024 di Baku, Azerbaijan.

“Kami mengharapkan delegasi besar dari Malaysia dan Sarawak mengambil bahagian dalam acara yang sangat penting ini,” katanya.

Menurutnya, sebagai duta, adalah menjadi tugas beliau untuk menyumbang sebahagian daripada pembangunan daripada hubungan ini.