Muafakat Parti PBB, SUPP kunci pembangunan Sarikei

SARIKEI: Kerjasama kukuh antara parti komponen GPS, khususnya PBB dan SUPP, terus menjadi asas kestabilan politik dan pembangunan di DUN Repok.

Ahli Parlimen Igan, Ahmad Johnie Zawawi berkata, pendekatan mesra serta komitmen berterusan pemimpin menjaga kebajikan masyarakat menjadi kunci keyakinan rakyat

Jelasnya, kepimpinan ditunjukkan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Repok, Dato’ Sri Huang Tiong Sii yang sentiasa turun padang mendekati dan menjaga kebajikan rakyat di situ tanpa bermusim memperlihatkan keikhlasan kerajaan GPS dalam menjaga kepentingan rakyat.

Beliau berkata demikian ketika menghadiri Majlis Ramah Tamah Aidilfitri Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Repok di Dewan Serbaguna Kampung Baru Seberang, semalam.

Dalam pada itu, beliau menyifatkan Dato’ Sri Huang yang juga Ahli parlimen Sarikei merangkap Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi sebagai pemimpin berjiwa rakyat, rendah diri dan mudah didekati.

Katanya, ciri kepimpinan tersebut menjadi faktor utama dalam memastikan kebajikan rakyat terus diberi perhatian menyeluruh tanpa mengira kaum dan agama.

Sehubungan itu, beliau menyeru rakyat agar terus memberikan sokongan kepada kepimpinan sedia ada bagi menjamin kesejahteraan serta kemajuan berterusan di DUN Repok.