Projek pembangunan Krian tingkatkan ekonomi penduduk

SARATOK: Persediaan awal sebelum proses tender projek pembangunan Tebingan Sungai Krian kini giat dilaksanakan dengan memberi penekanan terhadap kebajikan serta penempatan semula peniaga kecil di kawasan terlibat.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kalaka, Mohamad Duri berkata, langkah tersebut penting bagi memastikan kelangsungan aktiviti ekonomi harian golongan berkenaan tidak terjejas sepanjang pelaksanaan projek.

Menurutnya, sebelum proses tender yang dijangka berlangsung tahun ini, beberapa perkara utama perlu diberi perhatian termasuk penempatan semula peniaga kecil di sekitar tebing Sungai Krian ke lokasi lebih strategik.

Beliau menjelaskan, usaha itu bertujuan memastikan para peniaga dapat meneruskan operasi seperti biasa tanpa menjejaskan sumber pendapatan mereka.

Katanya, penyediaan jeti sementara di Kampung Masjid Hilir Saratok turut dirancang bagi menjamin kemudahan asas penduduk terus terpelihara sepanjang tempoh pembinaan.

Beliau berkata demikian selepas mempengerusikan perbincangan penyelarasan projek Cadangan Kerja-Kerja Perlindungan Tebing Sungai dan Tebingan Sungai Krian yang diadakan di Bilik Mesyuarat Pejabat Daerah Saratok, dekat sini semalam.

Tambah beliau, perbincangan penyelarasan yang diadakan melibatkan pelbagai agensi turut memberi fokus kepada status semasa projek serta aspek koordinasi bagi memastikan pelaksanaan berjalan lancar.