BETONG: Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas menasihati kontraktor yang terbabit dalam pembinaan projek jalan raya baharu supaya jangan terlalu bergantung jentera lama.
Beliau yang juga Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan berkata, jentera lama seperti jentolak serta peralatan lain lebih kerap terdedah kepada kerosakan.
Apabila ia berlaku sudah pasti akan melambatkan kerja pembinaan selain menunggu masa ketibaan alat ganti, katanya semasa berucap pada perhimpunan di Rh. Kelimbang, Penyulok dekat sini hari ini.
Perhimpunan dihadiri Ahli Parlimen Betong, Dr Richard Rapu dan Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR), Dr Cassidy Morris semasa menyempurnakan upacara pecah tanah bagi kerja menaik taraf Jalan Penyulok/Nanga Penebak/Ulu Penebak di Ulu Layar di sini.
Kos bernilai RM15.3 juta itu mengambil masa 18 bulan untuk siap, jalan raya sepanjang 4.829 kilometer (km) itu akan menjadi jalan bertaraf R1 dan dilengkapi dengan tenaga solar lampu jalan.
Dalam pada itu, beliau menegaskan, JKR yang diamanahkan bagi memantau projek terbabit akan bersikap lebih tegas.
JKR tidak akan teragak-agak menamatkan kontrak kontraktor terbabit yang gagal mematuhi syarat, skop dan jadual siap projek berkenaan, katanya.
Ini, tambahnya, bagi mengelak projek itu dikategorikan sebagai projek sakit.
Uggah menegaskan apabila projek berkenaan lewat atau sakit rakyat akan menyalahkan kerajaan dan wakil rakyatnya.
Beliau turut menggesa penduduk di kawasan berkenaan terutama pemilik tanah supaya memberi kerjasama kepada kontraktor terbabit bagi melicin proses pembinaannya.
Dr Ricahrd Rapu yang turut berucap pada majlis itu berkata, kerja menaik taraf jalan raya berkenaan merupakan sebahagian daripada usaha kerajaan meningkatkan taraf hidup dan sosioekonomi penduduk luar bandar.
