SIBU: Wishesland Cawangan Sibu perlukan tempat operasi kekal, konduksif, luas bagi memberikan perkhidmatan terbaik kepada kanak-kanak penghidap penyakit Cerebral Palsy (CP).
Pusat latihan terbabit terletak di Jalan Shariff Mansor di sini bagi mengendalikan kanak-kanak penghidap penyakit CP yang menyebabkan gangguan pada otot, gerak, dan koordinasi tubuh.
Menteri Kebajikan Wanita, Kanak-kanak dan Kesejahteraan Komuniti, Dato Sri Fatimah Abdullah berikutan itu menyarankan Pengerusi Wishesland Sibu, Kelvin Yeo Kai Kee) dan Penasihat Wishesland Sibu, Chi Poh Yung) memohon sebidang tanah yang boleh menjadi tempat operasi secara kekal.
“Kalau kita menyewa misalnya seperti tempat ini bila-bila masa kita boleh diminta mengosongkan bangunan dan apa-apa yang telah kita laburkan misalnya dari segi ubahsuai dan penambahbaikan itu akan hilang,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan majlis perasmian Wishesland cawangan Sibu dan menyalurkan peruntukan sebanyak RM10,000 kepada pusat itu.
Fatimah juga menasihatkan pihak berkenaan supaya menulis surat kepada Premier Sarawak berhubung perkara itu dan beliau akan memberikan sokongan.
