PACC bincang perkembangan industri minyak, gas

KUCHING: Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan baru-baru ini mempengerusikan tiga mesyuarat Jawatankuasa Penyelaras dan Penasihat Petrolium Sarawak (PACC) di sini.

Pada mesyuarat itu, beliau mengingatkan ahli-ahli jawatankuasanya mengenai matlamat PACC untuk meningkatkan penyertaan Sarawak dalam industri minyak dan gas.

Penyertaan Sarawak dalam industri hiliran dan huluan industri minyak dan gas untuk memacukan ekonomi tempatan selain mewujud peluang pekerjaan untuk rakyat dan kontraktor Sarawak hasil kerjasama dengan kementerian, agensi dan PETROS, katanya dalam satu kenyataan di sini.

Pada mesyuarat itu, PACC menerima laporan perkembangan daripada empat jawatankuasa kecil iaitu Jawatankuasa Pengagihan Gas, Jawatankuasa Promosi Industri dan Pelaburan, Jawatankuasa Peraturan dan Pematuhan dan Jawatankuasa Dasar, Alam Sekitar dan Kelesstarian Tenaga.

PACC turut mengalu-alukan pelantikan dua muka baharu iaitu Ketua Hakim Negeri, Datu Saferi Ali berkuatkuasa pada 7 September 2023 dan Setiausaha Tetap Datu Abdullah Julaihi mulai 1 Mei 2024.

PACC menzahirkan ucapan penghargaan kepada Datu Zaidi Mahdi yang banyak memberi sumbangan kepada PACC selama menjadi Setiausaha Tetap Kementerian Pembangunan Bandar dan Sumbher Asli Sarawak (MUDEnR).

Awang Tengah menzahirkan rasa puas hati dengan perkembangan dibuat oleh PETROS dalam membangunkan projek SGR termasuk loji tenaga Cantuman Kitaran Turbin Gas (CCGT) 500MW, saluran paip gas Samalaju dan hab Kuching dan infrastruktur yang dirancangkan.

Sasaran yang ditetapkan oleh Premier Sarawak dari segi keupayaan penjanaan tenaga Sarawak ialah 10,000MW menjelang 2030 dengan 30 peratus daripadanya akan dijana oleh sumber gas asli bukan diperbaharui.

Potensi pelaburan dalam teknologi tinggi di Sarawak akan hanya dapat direalisasikan dengan rancangan tenaga yang tersusun dan keupayaan mendapat gas asli pada harga berpatutan.

Perbincangan antara PETROS sebagai Aggregator Gas Sarawak dengan PETRONAS berjalan baik dan disasarkan selesai pada 1 Julai 2024.

PETRONAS yang berbincang dengan Kerajaan Sarawak memberi jaminan akan patuh kepada Undang-undang Negeri berkaitan terutama Ordinan Pengagihan Gas (DGO) 2016 (Pindaan 2023) dan akan bekerjasama dengan PETROS bagi menjamin peralihan Aggregator Gas dengan lancar.

Berkaitan dengan perkembangan aktiviti penyimpanan, penggunaan dan perangkap karbon (CCUS), projek itu sedang dibangunkan melalui rakan kongsi dengan PETRONAS, PTTEP Thailand dan consortium Jepun.

PETROS sebagai pengurus sumber CCUS Sarawak akan mengadakan kajian lanjut untuk menubuhkan Sarawak Storage Atlas mengenai potensi tapak penyimpanan CCUS di seluruh Sarawak dengan mengendalikan seismic dan memperkenalkan tapak berpotensi melalui pergerakan Sarawak Bid Round untuk pemaju dan pelabur berpoetensi CCUS.

Mesyuarat itu berakhir dengan perkembangan proses Kedudukan Pelaburan dan Penilaian Negeri ini, perkembangan berkaitan dengan pematuhan kepada keperluan lesen DGO 2016. Selain itu, perkembangan eksplorasi pantai yang menyaksikan potensi pengeluaran minyak dan gas di Utara Sarawak dan perkembangan penyertaan syarikat Sarawak dalam kontrak minyak dan gas di dalam dan luar Sarawak.

Ahli jawatankuasa PACC terdiri daripada Datuk Amar Awang Tengah sebagai Pengerusi, Dato Sri Dr Wan Lizozman Wan Omar, Datu Saferi Ali, Datu Dr Muhammad Abdullah Zaidel, Datuk Sharbini Suhaili, Datu Abdullah Julaihi, Datu Lester Mathew, Dato Janin Girie, Dzulkornain Masron, Jafri Lias dan Abang Ahmad Abang Morni.