Terap konsep ‘muqarabbah’ bangunkan negeri

SARIKEI : Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg menggesa umat Islam supaya mengamalkan konsep ‘muqarabbah’ dalam membantu membina masyarakat sejahtera sejajar kepesatan pembangunan negeri ini hari ini.

Beliau berkata, konsep itu harus dijadikan asas dan tanggungjawab masyarakat Islam untuk membantu sesama sendiri termasuk mereka yang bukan beragama Islam.

Muqarabbah bermakna ‘mindfulness’ atau kesedaran terhadap persekitaran yang menjurus ke arah khidmat atau memberikan perkhidmatan terbaik agar memberi impak positif terhadap kehidupan masyarakat tanpa mengira latar belakang atau agama, katanya ketika menyempurnakan Majlis Perasmian Masjid al-Muttaqin di sini, hari ini.

“Inilah konsep yang kita bawa, sebab itu kita tubuhkan Unit Hal Ehwal Agama Lain (Unifor), bukan sahaja kita membantu masyarakat Islam beribadah dengan sempurna, tetapi juga kepada agama lain supaya mereka juga bertanggungjawab ke atas kemakmuran bersama,” tegas beliau.

Masjid Al-Muttaqin dibina pada 1983 mampu menempatkan kira-kira 1,000 jemaah namun selepas dinaik taraf, masjid itu kini bukan sahaja berwajah moden tetapi berupaya menampung sehingga 2,500 jemaah pada satu-satu masa.

Beliau berkata, pelbagai masalah dihadapi dunia hari ini termasuk perubahan iklim, berpunca daripada perbuatan manusia sendiri yang tidak mempedulikan kesan daripada aktiviti pembangunan yang terlalu ekstrim.

“Manusia itu sendiri tidak mengambil tahu bermaknanya jika pembangunan terlalu ekstrim tanpa mengambil kira kesan kepada alam sekitar, kesanya dirasai kita hari ini apabila keadaan iklim yang sudah tidak menentu,” katanya.

Bagaimanapun ujarnya, berbekalkan semangat muqarabah, kerajaan komited memberi tumpuan terhadap alam sekitar hingga Sarawak menjadi tumpuan dunia, berikutan dasar yang seimbang antara kelestarian persekitaran dan pembangunan.

“Sebab itulah, kita mengeluarkan hidrogen, tenaga yang boleh diperbaharui dengan menggunakan ilmu sains.

“Ini termasuk projek ladang solar terapung pertama di Sarawak di bawah kendalian Sarawak Energy Berhad (SEB) di Empangan Batang Ai yang dijangka beroperasi pada Oktober ini,” jelasnya.

Dalam pada itu, beliau berkata, Kerajaan Sarawak terus memperkasakan potensi ekonomi Kuala Rajang melalui penyediaan prasarana lengkap yang bakal memberi manfaat besar kepada penduduk di kawasan itu dalam tempoh jangka panjang.

Katanya, Kuala Rajang sudah berubah wajah malah, sebahagian besar penduduk di kawasan itu kini, menikmati akses perhubungan yang lebih baik.

“Berbeza dengan keadaannya sebelum ini, penduduk Kuala Rajang hari ini, berpeluang memanfaatkan pembangunan sebagai platform untuk memperbaiki taraf hidup,” katanya.

Pada majlis sama, Abang Johari meluluskan dana tambahan sebanyak RM1.5 juta untuk menaik taraf pagar masjid berkenaan.

Turut hadir Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN), Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nasar, Pemangku Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datuk Dr. Muhammad Abdullah Zaidel, Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar, Datuk Len Talif Salleh, Timbalan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi, Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi, Ahli Parlimen Sarikei Datuk Sri Huang Tiong Sii, Ahli Parlimen Tanjung Manis Ir Yusuf Abdul Wahab dan Yang Dipertua Majlis Islam Sarawak, Datuk Misnu Taha.