RM2 juta laksana projek di Kabong

KABONG: Agensi kerajaan berkaitan akan mengadakan lawatan ke tapak bagi penyediaan dokumen (BQ) untuk projek-projek pembangunan yang dicadang di sini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kabong, Mohd. Chee Kadir berkata, antara projek yang dicadang ialah sebuah anjung selera dan inap desa Persatuan Nelayan Kawasan (PNK) Kabong berharga RM900,000.

Selain itu, Stesen Minyak PNK Kabong berjumlah RM800,000 dan projek menaik taraf Yellow Cafe PNK Kabong berjumlah RM300,000, katanya pada Majlis Penangguhan Program Ziarah Nelayan dan aktiviti tanggungjawab sosial korporat (CSR) Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) negeri Sarawak di Dewan Sri Nelayan Kabong.

Beliau berkata, projek yang dirancang itu dilaksanakan di bawah peruntukan Agensi Pembangunan Bahagian Betong (BDDA) yang melibatkan peruntukan berjumlah RM2 juta.

Chee Kadir turut memuji PNK Kabong atas inisiatif mewujudkan kembali seni bela diri atau seni mempertahankan diri di sini.

Seni silat Mayang Mengurai yang disertai 80 belia itu diuruskan oleh Kumpulan Belia Nelayan (KUBENA) yang ditubuhkan Mac tahun ini.

Turut hadir Pengarah LKIM negeri Sarawak, Mohamad Rizal Sahari, Timbalan Pengarah LKIM negeri Sarawak, Hasbie Mokti, Pegawai Daerah Kabong, Tahir Sharee, Pegawai Wilayah LKIM IV Betong, Nurhaizawati Samsimon dan Pengerusi PNK Kabong, Darmizan Daud.