KUCHING: Kerajaan Sarawak akan menyalurkan dana bagi membangunkan lebih 200 sekolah daif di seluruh negeri.
Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, dana tersebut akan diumumkan pada Majlis Makan Malam Sambutan Perayaan Gawai Dayak Peringkat Negeri Sarawak 2024 yang akan dihadiri oleh Perdana Menteri, Dato Seri Anwar Ibrahim pada malam ini (22 Jun).
“Dana peruntukan ini berdasarkan persetujuan di antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Sarawak untuk melaksanakan projek sekolah daif kerana lebih 200 sekolah perlu dibangunkan segera,” jelasnya.
Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan Majlis Anugerah Pendidikan Negeri Sarawak 2024 di Pusat Konvensyen CIDB di sini hari ini.
Beliau mendedahkan, peruntukan projek Program Transformasi Luar Bandar (RTP) hanya digunakan oleh wakil rakyat bagi membaiki keperluan sekolah dan bukannya untuk membangunkan sekolah.
Jelasnya, peruntukan RTP berjumlah RM5 juta tidak boleh dituntut daripada pihak sekolah sebaliknya merupakan sumbangan ikhlas daripada wakil rakyat bagi membantu sekolah-sekolah yang memerlukan.
Terdahulu dalam ucapannya, beliau berkata Kerajaan Sarawak melalui Kementerian Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak (MEITD) sedia membantu Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak (JPNS) mengatasi kekurangan guru di Sarawak.
Menurutnya, sekolah rendah mempunyai kekurangan terbesar berbanding sekolah menengah.
“Saya difahamkan, Sarawak mempunyai kekurangan sebanyak 2,430 guru dengan guru sekolah rendah paling banyak manakala guru menengah sebanyak 153 orang guru,” katanya.
Turut hadir Menteri MEITD Dato Sri Roland Sagah Wee Inn, Timbalan Menteri MEITD Datuk Francis Harden Hollis, Pengarah JPNS Dr Azhar Ahmad serta dif-dif kehormat lain dan guru-guru yang hadir.
GAMBAR: UKAS
