KUCHING: Industri berasaskan rumbia dari Dalat berpotensi diperluaskan sebagai salah satu sumber ekonomi di Sarawak.
Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Dato Sri Fatimah Abdullah berkata, ini susulan 50 peratus pengeluaran rumbia dari daerah itu.
“Dalat memiliki kawasan besar untuk menempatkan banyak kilang sagu. Justeru, pada masa akan datang, kita mencadangkan agar kompleks pembangunan industri sagu dapat dibina di sana,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas Majlis Santunan Kasih Aidiladha eDOK 2024 Kuching/Samarahan di Alia Banquet Hall, Jalan Muhibah di sini, hari ini.
Mengulas lanjut kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dalat itu, cadangan Kompleks Pembangunan Industri Sagu dan Nipah bertempat di Dalat itu juga diluluskan oleh kabinet.
“Sehubungan itu, kementerian kami mahu menganjurkan Karnival Balau bagi memperkenalkan nilai balau iaitu pokok sagu supaya dapat diperkembangkan sebagai produk huluan dan hiliran,” katanya.
