RM200 juta naik taraf sekolah, klinik daif

KUCHING: Sebanyak RM200 juta diluluskan bagi mempercepatkan kerja-kerja menaik taraf sekolah dan klinik daif di luar bandar negeri ini.

Menurut Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, sejumlah RM100 juta telah diperuntukkan bagi menaik taraf sekolah-sekolah daif manakala RM100 juta lagi untuk klinik-klinik daif.

Katanya, pelaksanaan projek naik taraf menggunakan dana ini perlu dilakukan dalam tempoh 18 bulan.

“Ini sudah tentu dapat mempercepatkan pembangunan sekolah dan klinik daif di luar bandar,” katanya pada Majlis Makan Malam Sambutan Gawai Dayak Peringkat Sarawak 2024 di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) malam tadi.

Majlis yang merupakan kemuncak sambutan Hari Gawai 2024 itu dihadiri Perdana Menteri Dato Seri Anwar Ibrahim.

Abang Johari turut merakamkan penghargaan kepada Anwar kerana bersetuju membenarkan Sarawak menaik taraf fasiltiti pendidikan dan kesihatan di negeri ini menggunakan dana sendiri yang mana akan dibayar semula oleh Kerajaan Persekutuan.

Ujarnya, perkara ini secara tidak langsung akan memberikan impak positif kepada pembangunan fasiliti tersebut dari aspek keselesaan dan keselamatan serta sekaligus dapat menyediakan perkhidmatan terbaik kepada rakyat.

Hadir sama Timbalan-Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan dan Datuk Amar Profesor Dr Sim Kui Hian, Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nasar, Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Dato Sri Roland Sagah Wee Inn, mantan Timbalan Ketua Menteri Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Alfred Jabu, Setiausaha Kerajaan Sarawak Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki.

Seramai empat ikon sukan Sarawak dari kaum Dayak menerima pengiktirafan iaitu Dato Pandelela Rinong Pamg, Daeloniel McDelon Bong (tinju), Bonnie Bunyau Gustin (Para powerlifting) dan Angeline Melissa Lawas (Para Boccia).

GAMBAR:UKAS