KUCHING: Kampung Sejijak dan kampung sekitarnya akan diangkat sebagai hab pelancongan dan penempatan baharu berasaskan komuniti.
Program ini menerusi pelaksanaan projek strategik seperti pembinaan tebingan sungai serta perumahan mampu milik.
Menurut Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, projek tersebut merupakan sebahagian daripada inisiatif untuk merancakkan aktiviti ekonomi dan pelancongan berasaskan sungai di kawasan pinggir bandar.
Menurutnya, pembinaan rangkaian pelancongan sungai yang menghubungkan Sejijak, Satok dan Siniawan penting sebagai daya tarikan baharu kepada pelancong tempatan dan luar.
“Ini bukan sahaja menghidupkan kembali budaya sungai, malah membuka peluang ekonomi kepada penduduk,” katanya pada Majlis Penangguhan Regata Sejijak 2025 pagi tadi.
Sehubungan itu, beliau turut mengumumkan peruntukan berjumlah RM20 juta bagi pembangunan tebingan sungai di Kampung Sejijak.
Selain itu, turut dalam perancangan pembinaan 100 unit rumah mampu milik di kawasan seluas 30 hektar di antara Kampung Sejijak dan Kampung Paroh.
“Projek perumahan tersebut akan dilengkapi dengan kemudahan infrastruktur asas seperti jalan raya, bekalan air, elektrik dan sistem perparitan, yang akan ditanggung sepenuhnya oleh kerajaan negeri.
“Rakyat hanya perlu bayar premium tanah serendah RM2,500 dan bayaran rumah melalui pinjaman mampu milik. Infrastruktur semua kerajaan tanggung,” ujarnya.
Sementara itu, Ketua Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak, Dato Fazzrudin Abdul Rahman berkata, kemudahan jeti di Kampung Sejijak dan Kampung Paroh perlu dinaik taraf untuk memperkasa sektor pelancongan.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tupong, berkata, langkah itu penting untuk melancarkan acara regata tahunan Sejijak yang semakin berkembang, dan berpotensi merancakkan industri pelancongan.
“Kita mengharapkan prasarana ini dinaik taraf untuk merancakkan penganjuran Regata Sejijak.
Beliau yang juga Pengerusi Regata Sejijak 2025 menjelaskan, Kampung Paroh semakin dikenali sebagai destinasi pelancongan aktiviti memancing, khususnya dalam kalangan pelancong dari Singapura.
Acara itu dikendalikan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Sejijak dengan kerjasama Ranting Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Pemuda dan Wanita PBB DUN Tupong serta Pusat Khidmat Parlimen Petra Jaya.
