BALINGIAN: Pemantauan akan kerap dilakukan terhadap perkembangan pembangunan projek di lapangan, kata Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Dougas Uggah Embas.
Beliau yang juga Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan menegaskan, pemantauan itu bagi memastkan setiap projek dilaksanakan mengikut jadual.
Uggah memberitahu demikian dalam rangka lawatan kerja turun padang selama lima hari dengan menaiki kenderaan bagi meninjau perkembangan projek itu di negeri ini.
Lawatan pertamanya di Bahagian Miri disusuli ke Bintulu semalam dan hari ini ke Bahagian Mukah. Esok beliau dijadual ke Kapit kemudian ke Sibu dan Jumaat ke Bahagian Sarikei.
Beliau ditemani Timbalannya, Datuk Aidel Lariwoo, Pengarah Jabatan Kerja Raya, Dr Cassidy.
Bercakap kepada media selepas menghadiri taklimat mengenai status pelaksanaan dua projek menaik taraf jalan pesisir dari Bintulu ke Mukah, Uggah menyifatkan lawatannya memberi banyak maklumat dan berfaedah.
“Lawatan itu meliputi hampir 80 peratus kawasan di negeri ini. Datuk Aidel telah melawat kawasan Limbang/Lawas terdahulu,” katanya.
Uggah sementara itu memberitahu, sektor infrastruktur di negeri ini semakin bertambah baik atas komitmen dan usaha bersungguh-sungguh Kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS).
Untuk rekod, katanya, Kerajaan GPS sedang melaksanakan 16 jambatan di seluruh negeri ini berharga RM4.90 bilion dibiayai oleh Kerajaan GPS.
Mengenai jalan pesisir dari Mukah ke Bintulu, beliau berkata, sebahagian besar pakej pembinaan jalan sepanjang 136.95 kilometer (km) itu telah siap.
Bahagian jalan berkenaan berharga RM1.614 bilion termasuk pembinaan tiga jambatan iaitu Jambatan Paloh, Jambatan Batang Igan (siap pada hujung 2025) dan Jambatan Muara Lassa dijangka siap akhir tahun ini.
Uggah berkata, JKR bersetuju memperuntukkan RM16 juta untuk menaik taraf dua bahagian di sepanjang jalan berkenaan.
