KUALA LUMPUR: Pemberian kewangan Kerajaan Persekutuan kepada negeri-negeri bukan bantuan berbentuk ihsan atau budi bicara semata-mata, sebaliknya merupakan kewajipan yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.
Ahli Dewan Negara Senator Dato Ahmad Dato Sri Ibrahim berkata, pemberian tersebut diperuntukkan di bawah Perkara 109(1)(a) Perlembagaan Persekutuan yang dibaca bersama Bahagian I Jadual Kesepuluh, sekali gus menjadikannya satu tanggungjawab perlembagaan Kerajaan Persekutuan kepada kerajaan negeri.
“Geran tersebut dibayar daripada Kumpulan Wang Disatukan Persekutuan bagi membantu kerajaan negeri melaksanakan pentadbiran serta menyediakan perkhidmatan kepada rakyat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika mengambil bahagian dalam perbahasan Rang Undang-Undang Pemberian Mengikut Bilangan Orang 2026 (D.R. 2/2026) di Dewan Negara hari ini.
Ahmad menambah, formula pemberian berdasarkan bilangan penduduk juga perlu dinilai semula dengan mengambil kira realiti geografi dan kos pembangunan yang berbeza antara negeri-negeri.
Sebagai contoh jelasnya, Selangor mempunyai lebih 7 juta penduduk manakala Pulau Pinang sekitar 1.8 juta penduduk.
Sebaliknya, Sarawak mempunyai keluasan kira-kira 124,450 kilometer persegi dengan populasi sekitar 2.9 juta orang, manakala Sabah seluas 73,904 kilometer persegi dengan populasi sekitar 3.9 juta orang.
“Kos membina satu kilometer jalan raya di bandar tidak sama dengan kos membina jalan di kawasan pedalaman seperti di Baram, Belaga atau Ulu Kapit.
“Begitu juga kos menyediakan kemudahan kesihatan atau infrastruktur asas di kawasan pedalaman yang hanya boleh diakses melalui sungai atau jalan balak,” tegas beliau.
Beliau turut mengingatkan, struktur kewangan Persekutuan Malaysia mempunyai asas sejarah yang penting dalam pembentukan Malaysia.
Ujarnya, peruntukan kewangan khas kepada Sabah dan Sarawak lahir daripada rundingan sebelum pembentukan Malaysia melalui Inter-Governmental Committee (IGC) Report 1962, yang menjadi asas kepada struktur perlembagaan apabila Malaysia dibentuk pada tahun 1963 di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
Beliau turut mencadangkan agar kerajaan meneliti kemungkinan memperkukuh sistem federalisme fiskal negara melalui pendekatan yang lebih menyeluruh termasuk kajian semula formula pemberian per kapita dengan mengambil kira faktor seperti keluasan negeri, kos penyampaian perkhidmatan serta tahap pembangunan luar bandar.
Dalam hal ini, beliau mencadangkan agar Malaysia meneliti model Fiscal Equalisation yang digunakan di negara persekutuan lain seperti Australia dan Kanada bagi memastikan kapasiti fiskal negeri-negeri lebih seimbang.
