KUCHING: Kementerian Pembangtunan Wanita, Kanak-kanak dan Kesejahteraan Komuniti (KPWK) akan terlibat secara langsung dengan Siri Program SarawakKu Sayang bermula April sehingga November depan.
Program tersebut bermula dari Bahagian Limbang dan akan berakhir di Kuching.
Menterinya, Dato Sri Fatimah Abdullah berkata, program menyantuni rakyat itu akan menyampaikan maklumat, bantuan dan inisiatif secara berkesan serta memastikan tiada golongan yang tercicir daripada manfaat pembangunan Sarawak.
“KPWK akan terus mengambil pendekatan yang lebih inklusif dan proaktif termasuk melalui program outreach,” katanya berucap pada sesi TownHall KPWK Bil. 1/2026 di sini hari ini.
Fatimah berkata, pendekatan turun padang menyantuni rakyat akan memastikan rakyat di pedalaman tidak tercicir daripada menerima maklumat serta manfaat daripada bantuan dan inisiatif yang disediakan kerajaan.
Program seperti ini penting sebagai platform untuk berkongsi maklumat terkini termasuk mengenai inisiatif dan bantuan yang disediakan oleh Kementerian dan jabatan di bawahnya; Jabatan Kebajikan Masyarakat Sarawak (JKMS) dan Jabatan Wanita dan Keluarga Sarawak (JWKS), tegas beliau.
Pada majlis itu, Fatimah menyerahkan beberapa bantuan di bawah kementeriannya iaitu Bantuan Ibu Bersalin, Endownment Fund Sarawak, Bantuan Perubatan, Bantuan Ketua Isi Rumah Wanita Sarawak (KIRWAS) dan Geran Modal Pemerkasaan Wanita Sarawak (GMPWS) untuk penerima yang layak.
Bantuan yang disampaikan itu, katanya, merupakan sebahagian daripada usaha berterusan Kerajaan untuk meringankan beban dan memberi sokongan kepada rakyat dalam meneruskan kehidupan dengan lebih baik.
