KUCHING: Clinical Research Centre (CRC) Hospital Umum Sarawak kini merupakan “one-stop centre” untuk penyelidikan klinikal di Sarawak.
Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak, Dato Sri Fatimah Abdullah berkata, peranan utama CRC antaranya sebagai pusat penyelidikan klinikal, menyokong kajian klinikal, kemudahan penyelidikan moden, latihan, pembangunan kapasiti dan kerjasama antarabangsa.
Katanya, CRC itu juga menyediakan perubatan kepada pesakit luar yang mendapatkan rawatan kimoterapi iaitu pesakit yang dalam kajian seperti pesakit Oncology Hematologi dan Skin Dermatology.
“Melalui kajian berkualiti di CRC, ia dapat menghasilkan bukti saintifik yang kukuh untuk meningkatkan rawatan, memperkenalkan terapi baharu, serta memastikan keselamatan pesakit sentiasa terjamin,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika lawatan dan sumbangan Raya anjuran Persatuan Masakan dan Kuih – Muih Sarawak di wad CRC Hospital Umum Sarawak (HUS) di sini, hari ini.
Fatimah berkata ini membuktikan komitmen hospital itu dalam melahirkan pengetahuan baharu yang memberi manfaat kepada masyarakat Sarawak sendiri malah juga kepada rakyat Malaysia.
