SERIAN: Pustaka Negeri Sarawak dengan kerjasama Masjid Darul Makmur Serian serta rakan sinergi lain menganjurkan program World #QuranHour 2026, sebuah inisiatif penghayatan al-Quran bertaraf global yang mengajak masyarakat berhenti seketika selama satu jam untuk membaca, memahami dan merenung mesej kitab suci umat Islam.
Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Penyelaras Projek untuk Agensi Wilayah, DBKU dan Hal Ehwal Islam) Datuk Dr. Abdul Rahman Junaidi berkata, sokongan terhadap usaha memperkukuh budaya celik al-Quran dalam kalangan masyarakat sangat kukuh.
Mengangkat tema “Membentuk Manusia Sebelum Membangun Dunia”, program tahun ini memberi tumpuan kepada Surah Al-Muzzammil, surah ke-73 dalam al-Quran yang menekankan kepentingan pembinaan kekuatan spiritual, disiplin diri serta keteguhan jiwa.
Mesej utama surah ini mengingatkan umat Islam bahawa pembinaan insan yang kuat dari segi rohani merupakan asas penting dalam membentuk masyarakat yang beradab, penyayang dan berdaya tahan menghadapi cabaran kehidupan moden.
Antara pengisian utama program termasuk perkongsian bertajuk “Journey of Quran – Ibrah Surah Al-Muzzammil” oleh Jurulatih Utama Tadabbur Centre Sdn Bhd, Muhammad Shaari Ab. Rahman.
Selain itu, bacaan Surah Al-Fatihah, Surah Al-Baqarah (ayat 1 hingga 5) dan Surah Al-Muzzammil (ayat 1 hingga 20) dipimpin oleh Guru Tahfiz Mattary, Mohd Safwan Mahli.
Program ini turut menampilkan sesi tadabbur Surah Al-Muzzammil bersama Pengurus Lajnah Kawalan dan Komunikasi Darul Huffaz Quranic Centre Malaysia Sarawak, Wan Muhammad Mujahid Wan Alwi.
Persembahan qasidah oleh Madrasah Al-Khairat Kuching memeriahkan lagi majlis yang disertai majlis Penyerahan Wakaf Ilmu sebagai simbolik sokongan terhadap usaha memperluas penyebaran ilmu dan budaya membaca al-Quran dalam masyarakat.
Program yang berlangsung dalam suasana penuh penghayatan itu berjaya menghimpunkan kira-kira 600 peserta terdiri daripada pelajar, penjawat awam, wakil agensi kerajaan, badan bukan kerajaan serta masyarakat.
