Penambahan kerusi DUN rapatkan jurang bandar, luar bandar

KUCHING: Penambahan 17 kerusi baharu dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak disifatkan sebagai langkah penting ke arah merapatkan jurang pembangunan antara kawasan bandar dan luar bandar.

Timbalan Perdana Menteri, Dato’ Sri Fadillah Yusof berkata, langkah tersebut bukan sekadar memperkukuh sistem politik dan pentadbiran, malah memberi ruang kepada penduduk di pedalaman untuk diwakili secara lebih adil dan menyeluruh.

“Kita tidak mahu ada kawasan yang terus terpinggir hanya kerana tiada wakil rakyat yang dekat dan memahami isu setempat. Dengan penambahan kawasan baharu, lebih ramai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) boleh dilantik untuk mewakili suara rakyat dengan lebih telus,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas melawat peserta kursus AI for MyFuture Parlimen Petra Jaya di Pusat Kecemerlangan Teknologi Sarawak (CENTEXS), Jalan Sultan Tengah, di sini hari ini.

Menurut Ahli Parlimen Petra Jaya itu, saiz geografi Sarawak yang amat luas serta kepelbagaian etnik dan cabaran logistik memerlukan pendekatan pentadbiran yang lebih bersifat inklusif, berbanding negeri lain di Semenanjung Malaysia.

“Sebagai contoh, Hulu Rajang hampir sebesar negeri Pahang tetapi hanya diwakili tiga ADUN. Negeri Pahang pula mempunyai lebih ramai ADUN. Malah, Singapura yang jauh lebih kecil mempunyai 99 Ahli Parlimen. Jadi adalah wajar bagi Sarawak menambah jumlah kerusi DUN agar pentadbiran lebih tersusun,” katanya.