KUCHING: Program Jelajah Outreach ‘Kamek Prihatin, Kitak Penting’ yang digerak di seluruh Sarawak bakal menjadi wadah penting dalam menyampaikan maklumat serta menyantuni komuniti di negeri ini.
Program tersebut dianjurkan dengan kerjasama pelbagai agensi kerajaan di bawah Kementerian Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti (KWPK).
Menterinya, Dato Sri Fatimah Abdullah yang menjelaskan program kementeriannya itu berkata, antara tumpuan program ialah penyediaan perkhidmatan, bantuan serta khidmat kaunseling kepada golongan sasar.
“Program ini merupakan inisiatif proaktif dalam mendekati rakyat secara langsung di peringkat akar umbi.
“Jelajah ini bukan sekadar lawatan, tetapi ruang untuk mendengar suara rakyat, mengenal pasti keperluan mereka dan memaklumkan tentang perkhidmatan yang tersedia melalui agensi kerajaan,” katanya.
Fatimah berkata demikian selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) Wanita Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) di Ibu Pejabat Parti PBB, di sini.
Tambah beliau, program tersebut dilaksanakan di dua lokasi sebelum ini dan mendapat sambutan menggalakkan.
Di Kampung Rayu, Lundu, program bertemakan Jangkauan Ziarah Gawai Raya di Rumah Panjang Rayu pada 17 dan 18 Jun lalu, berjaya menarik minat penduduk.
Sementara itu, lokasi kedua di Dewan Suarah Bau pada 4 dan 5 Julai turut menyaksikan kehadiran lebih 1,000 pengunjung untuk mendapatkan maklumat dan bantuan secara terus daripada agensi yang terlibat.
“Kita mahu pastikan pendekatan yang inklusif dan mampan dapat dicapai, seterusnya memperkasa wanita Sarawak dalam pembangunan sosial dan ekonomi negeri,” tegas Fatimah.
Program jelajah ini dijangka diteruskan ke banyak lokasi dalam tempoh beberapa bulan akan datang. Ia menyasarkan penyertaan komuniti dari pelbagai latar belakang agar tiada golongan yang tercicir daripada arus pembangunan dan kesejahteraan yang dibawa kerajaan.
