KUCHING: Sarawak kini telah mula mendapat perhatian dan menjadi tarikan baharu kepada pelabur antarabangsa.
Timbalan Perdana Menteri, Dato’ Sri Fadillah Yusof berkata ini termasuk pelabur dari Jepun dan China yang setelah beliau mengadakan lawatan ke Osaka Expo 2025, di Jepun baru-baru ini.
“Bukan sahaja di Jepun, saya juga pergi ke Perancis, Rusia dan memang Sarawak kini menjadi tarikan baharu,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika Majlis Perdana Kesenian dan Kebudayaan Dayak Peringkat Parlimen Petra Jaya 2025 di Dewan SDNU, Siol Kandis, Petra Jaya di sini, malam tadi.
Fadillah yang juga Ahli Parlimen Petra Jaya berkata, Norway turut memberi fokus utama untuk melabur di Sarawak ketika Mesyuarat Menteri-Menteri Luar ASEAN di Kuala Lumpur, baru-baru ini.
“Ini disebabkan mereka tahu Premier Sarawak pernah ke sana untuk melihat sistem Pemerangkapan, Penggunaan, dan Penyimpanan Karbon (CCUS) di Norway dan pelbagai sistem kewangan lain,” katanya.
