Pendekatan bersepadu, kerjasama strategik basmi kemiskinan bandar

KUCHING: Kerajaan Sarawak mempergiat usaha membasmi kemiskinan bandar melalui pendekatan bersepadu yang menekankan kerjasama strategik antara pelbagai agensi.

Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak, Dato Sri Fatimah Abdullah berkata, pelaksanaan langkah tersebut melibatkan koordinasi pelbagai agensi berkaitan bagi menangani isu kebajikan secara menyeluruh dan berfokus.

“Kerjasama merentas agensi itu penting bagi memastikan maklumat berkaitan kes kebajikan dapat diselaraskan dengan tepat.

“Ia juga mengelakkan salah tafsir yang sering timbul dalam kalangan masyarakat berhubung tindakan kerajaan terhadap isu kemiskinan bandar,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas melakukan lawatan ke Tempat Transit Gelandangan (TTG) Kuching di Jalan P. Ramlee, malam tadi.

Fatimah menambah, antara kes yang diberi perhatian khusus ialah pemindahan sebuah keluarga dari kawasan Sungai Maong yang sebelum ini tinggal dalam keadaan kediaman uzur dan berbahaya.

Katanya, keluarga tersebut telah ditempatkan semula di Flat Dahlia selepas unit kediaman yang sesuai dikenal pasti, dengan bantuan disalurkan melalui pusat khidmat ADUN Tupong, Datuk Fazzrudin Abdul Rahman, termasuk bayaran deposit, kos penyambungan bekalan air dan elektrik serta bantuan sewa rumah bagi tempoh enam bulan.

“Selain penyediaan tempat tinggal, aspek kebajikan kanak-kanak turut menjadi keutamaan, khususnya dari segi keselamatan dan pendidikan, selaras dengan peruntukan Akta Perlindungan Kanak-Kanak bagi memastikan mereka tidak tercicir daripada sistem persekolahan,” katanya lagi.