Pengalaman, sumbangan pesara aset berharga buat negara – Len Talif

KUCHING: Persatuan Pesara disaran terus menjadi platform yang aktif dan inklusif, bukan sahaja menjaga kebajikan ahli, tetapi memanfaatkan kebolehan dan kepakaran warga pesara.

Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar, Datuk Len Talif Salleh berkata, langkah itu perlu untuk menyumbang kembali kepada masyarakat.

Katanya, golongan pesara merupakan aset berharga kepada negeri ini, meskipun tidak lagi berada dalam arus perkhidmatan awam, namun pengalaman, ilmu dan pandangan mereka amat bernilai.

“Saya percaya, banyak sumbangan yang masih boleh disalurkan sama ada dalam bentuk khidmat nasihat, mentor kepada generasi muda atau penglibatan dalam komuniti,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis Makan Malam Sempena Mesyuarat Agung Tahunan Persatuan Pesara Sarawak Ke-51 di sini, malam tadi.

Beliau turut menzahirkan tahniah kepada barisan kepimpinan baharu persatuan dan selamat menjalankan amanah.

“Ingatlah bahawa kepimpinan adalah satu tanggungjawab besar. Teruskan kesinambungan legasi yang telah dibina oleh mantan-mantan pengerusi dan ahli jawatankuasa terdahulu.

“Pada masa sama bawalah pembaharuan yang segar demi manfaat bersama,” katanya.

Beliau menegaskan bahawa Kerajaan Sarawak sentiasa menyokong usaha yang memperkasa warga emas dan pesara.

“Kami akan terus memberi perhatian dalam aspek penjagaan kesihatan, kemudahan awam yang mesra warga emas serta peluang keterlibatan sosial yang produktif,” kata beliau.