Penganugerahan Pingat Darjah Kebesaran Negeri Sarawak berlangsung sehingga Ogos ini

KUCHING: Penerima pingat darjah-darjah kebesaran negeri yang masih belum menerima pingat akan menerima pingat masing-masing di Majlis Upacara Penganugerahan Pingat yang akan diadakan sebanyak 12 kali di Astana Negeri Sarawak.

Menurut kenyataan Astana Negeri Sarawak dikeluarkan hari ini, Majlis Upacara Penganugerahan Pingat itu bermula 18 Jun 2025 dan akan diteruskan sehingga Ogos ini.

Kenyataan sama menyebut seramai 1,700 penerima pingat darjah-darjah kebesaran negeri Sarawak pada 2022 hingga 2024 masih belum menerima pingat tersebut disebabkan keadaan sebelum ini yang tidak dapat dielakkan.

Berdasarkan jadual terkini, Istiadat Pengurniaan Darjah-Darjah kebesaran Negeri Sarawak yang seterusnya akan diadakan pada 25 Jun dengan raptai pada 24 Jun ini.

Ia disusuli dengan sesi pada 3 Julai dan raptai 2 Julai 2025.

Manakala, tarikh bagi istiadat seterusnya akan diumumkan kelak mengikut jadual Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar. – UKAS